Monday, March 9, 2009

BAHASA MELAMGBANGKAN BANGSA


PPSMI DAN CARA MENTERI ITU BERFIKIR

Nampaknya beberapa isu pokok yang dibawa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) sedang diterbalikkan. Tidak keterlaluan juga untuk berkata bahawa isu sebenar PPSMI sedang dipolitikkan. Orang kerajaan sendiri iaitu Menteri Itu sendiri sedang mempolitikkan isu PPSMI.

Memang GMP bukanlah apa-apa dan bukanlah siapa-siapa walaupun diterajui oleh tokoh bahasa, tokoh budaya dan tokoh sastera sahaja. Gerakan, pertubuhan atau persatuan yang tidak disertai oleh “orang-orang politik” seringkali dianggap tidak apa-apa dan tidak kuat. Suara gerakan dan persatuan tanpa orang politik ini sama seperti suara rakyat bawahan: tidak kuat dan tidak membawa ancaman. Sebab itulah dengan mudah dan lancang sahaja Menteri Itu menuduh GMP didalangi “pihak tertentu”.

Saya berasa lega kerana Datuk Dr. Hassan Ahmad hari ini muncul dengan garang untuk menegaskan bahawa GMP tidak didalangi sesiapa. Kenyataan keras, “saya ada otak, saya boleh fikir, saya bukan beruk, saya bukan monyet” yang keluar dari mulut tokoh bahasa itu saya fikir Menteri Itu faham. Benar, ada beberapa pemimpin dan orang politik dari parti pembangkang yang menyertai GMP dan memberi sokongan membantah PPSMI.

Saya fikir itu hak mereka juga sebagai rakyat Malaysia. Malah, kalau pemimpin dan orang politik dari kalangan UMNO pun mahu menyertai GMP dan menyertai perhimpunan itu, saya fikir tidak ada masalah. GMP bukan parti politik atau berasaskan politik. Soal pemimpin dan orang politik dari mana-mana parti mengeksploitasi isu PPSMI ini demi kepentingan dan survival politik mereka, itu soal kedua dan bukanlah dalam kawalan GMP lagi.

Pada petang 7 Mac 2009 (Sabtu), semua yang menyertai perhimpunan membantah PPSMI dan mungkin ribuan lagi yang bersimpati dengan GMP tetapi tidak turut serta dalam perhimpunan itu jelas pendirian dan matlamat mereka iaitu membantah PPSMI. Tidak timbul soal menyokong pembangkang atau menjadi dalang kepada pembangkang atau untuk menumbangkan Menteri Itu.

Menteri Itu memang nampaknya takut dengan bayang-bayang sendiri. Menteri Itu akan merebut antara jawatan penting dalam parti. Sedikit banyak, isu PPSMI ini mungkin menggugat kredibilitinya sama ada “berpatah balik” atau “meneruskan saja PPSMI”. Beliau diibaratkan seperti “luah mati emak, ditelan mati bapa”. Disebabkan dilema itulah maka ketua Menteri Itu terpaksa menggesa supaya Menteri Itu membuat keputusan segera berhubung isu PPSMI. Saya tidak fikir Menteri Itu perlu digesa sehingga sebegitu melainkan kerana ada sebab-sebab yang hanya dia sendiri sahaja yang tahu.

Namun, dilemanya itu hanya untuk dirinya saja; untuk kepentingan dan survival politiknya saja. Kita berharap Menteri Itu berfikir seperti apa yang dikatakannya kerana “anak-anak bangsanya”. Kita ingin melihat itu….

No comments:

Post a Comment